"BERMASTAUTIN" DI KOLEJ KEDIAMAN UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Assalammualaikum warahmatullah dan Salam Kolej Kediaman.

Disaat matahari mula menampakkan sinar keindahannya dibalik laut china selatan pada pagi bulan Jun sekitar tahun 2015, julung kalinya seorang insan bergelar Faizzainon ini mula menapakkan kakinya buat pertama kali dibumi bertuah ini. Hari itu menjadi permulaan kepada penghijrahan sementara seorang budak Pantai Dalam, Kuala Lumpur ke bumi bertuah Negeri Terengganu Darul Iman. Sebuah penghijrahan yang bakal membuka sebuah kisah baharu,episod baharu, cabaran baharu, dugaan baharu dan semua yang berlaku selepas pada tahun 2015 itu adalah episod baharuku sebagai seorang anak remaja yang kini bergelar Mahasiswa di salah sebuah institut pengajian tinggi di negeri ini iaitu tidak asing lagi, Universiti Malaysia Terengganu.

Menjangkau sudah tahun yang dibangga-banggakan oleh kita sejak dari zaman sekolah rendah dimana lagu "Wawasan 2020" sering dinyanyikan tatkala perhimpunan rasmi berlangsung. Bernyanyi dengan penuh semangat walaupon pada usia begitu apalah sangat yang difahamkan sangat berkaitan dengan sains, teknologi, dan juga permodenan. Kini, telah hampir 5 tahun penghijrahan ku di bumi bertuah negeri Terengganu dan secara tidak langsung menjadikan diriku ini salah seorang rakyat jelata yang telah lama "bermastautin" di dalam Kolej Kediaman UMT yang dahulunya dikenali sebagai Kolej Siswa.

Benar.....

Bermula dari tahun 2015 hingga kini tahun 2020, aku masih tetap setia menjadi rakyat jelata yang setia kepada Kolej Kediaman. Sepanjang bergelar seorang mahasiswa, tidak pernah lagi aku menjalankan kisah penghidupanku di bumi bertuah negeri Terengganu ini di mana-mana rumah sewa diluar kawasan UMT. Bagiku, lebih baik untuk aku terus kekal bermastautin di Kolej Kediaman sehingga tamat pengajian di institut ini kerana terlalu banyak kebaikan dan kelebihan yang diperoleh berbanding menyewa diluar. Kehidupan didalam kawasan universiti ini sedikit sebanyak menjadikan aku lebih cakna terhadap isu, permasalahan, berita, penganjuran program dari pihak Universiti mahupon Kelab dan Persatuan dan lebih penting menjadikan aku terus "hidup" dengan berlatarbelakangkan persekitaran yang sebegini rupa.

Sebelum tu, Kolej Kediaman ni buat apa jer?

Okay sedikit sebanyak kepada Objektif dan Fungsi Kolej Kediaman ini adalah seperti yang berikut:

Objektif:

1. Menguruskan permohonan penempatan mahasiswa di dalam kampus.
2. Menyediakan kemudahan, prasarana dan persekitaran yang selesa dan kondusif kepada mahasiswa.
3. Menyediakan perkhidmatan pembaikan bagi kerosakan kecil di Kolej Kediaman dan Asrama Taman Permint.
4. Mentadbir dan menyelaras aktiviti mahasiswa yang dapat meningkatkan pembangunan sahsiah diri.
5. Menyediakan ruang dan peluang untuk mahasiswa membantu pihak pengurusan dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan di kolej.

Fungsi:

1. Mengurus penempatan pelajar Kolej Kediaman.
2. Melaksanakan, menyelaras dan memantau aktiviti pembelajaran ke dua di Kolej Kediaman.
3. Menyelaras pembangunan kebajikan pelajar di Kolej Kediaman.
4. Mengurus dan mengemaskini rekod pelajar di Kolej Kediaman.
5. Menyelaras, merancang, menyelia aktiviti Kolej Kediaman.
6. Mengurus dan menyelia penyelenggaraan Kolej Kediaman.
7. Menyelaras peraturan bagi setiap pengusaha kafetaria agar mengikut peraturan yang ditetapkan.
8. Memastikan masalah pelajar diselesaikan segera.
9. Memastikan prasarana kemudahan Kolej sentiasa berkeadaan baik.
10. Memastikan keselamatan pelajar Kolej sentiasa terjamin.
11. Memastikan felo proaktif kepada pelajar.

*Sumber daripada laman sesawang http://kolejsiswa.umt.edu.my/

Disebabkan aku adalah seorang manusia yang berjantina lelaki, jadi Blok At-Tarmidzi (ATT) dan Blok 2 (B2) sahaja yang aku berpeluang untuk menginap berbanding 6 blok-blok yang lain dimana penghuninnya ialah daripada kalangan wanita. Banyak bukan? Hahahahaha iya sungguh banyak. Lelaki 2 blok jer.

Daripada Bilik Berempat di ATT, Bilik Bertiga dan Bilik Berdua di B2 semua aku dah pernah merasa nikmat kehidupannya yang mana setiap bilik ini mempunyai kisah penceritaan yang berbeza. Lebih menarik lagi, aku punya flow baik jer tersusun dari bilik berempat kepada bertiga then last sekali kepada bilik berdua. Jadi bila setiap kali bertukar bilik tu umpama penganugerahan nikmat yang tidak terhingga batasnya. Mana tidaknya kalau dulu berperang dengan ruang keselesaan yang terhad, ruang kapasiti untuk menyimpan barang terhad, dan sehinggakan ruang untuk solat pon terhad. Sorang solat dekat kawasan meja study, sorang lagi solat dekat belakang pintu. Dan oleh sebab itu apabila kita menjadi warga penghuni Kolej Kediaman Sheikh Abdul Rahman Limbong (KKSARL), kita sangat-sangat disarankan dan digalakkan untuk selalu solat di surau yang ada disetiap blok tersebut.

Tapi bagaimana pula jika di B1 dan B2? 😎
Jawapannya ialah sama ada solat didalam bilik, ruang tamu luar bilik atau lebih afdal lagi iaitu solat di Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM) aka Masjid UMT.

Banyak cara sebenarnya yang boleh dibuat untuk memastikan kita sentiasa aktif di alam universiti sehingga memberikan kelebihan kepada kita untuk mendapat asrama apabila memohon kelak. Tetapi jangan pernah kita lupa, ingat sentiasa bahawa kita duduk didalam kawasan Kolej Kediaman dan sudah pasti kita tertakhluk didalam peraturan-peraturan yang telah ada didalam Kolej Kediaman sejak sekian lama. Dan oleh sebab itu jugaklah kita jangan pernah abaikan program-program yang dianjurkan oleh Kolej Kediaman atau badan organisasi pelajar dibawah Kolej Kediaman itu sendiri. Pada zaman aku, ianya dikenali sebagai Majlis Kolej Siswa (MKS) dan Majlis Pelajar Luar Kampus (MPLK), tetapi bermula pada tahun 2020, nama tersebut ditukar kepada Jawatankuasa Pelajar Kolej Kediaman (JPKK) dan Jawatankuasa Pelajar Luar Kampus (JPLK) seiring dengan Penubuhan Student Union yang akan ditubuhkan kelak.

Nak aktif dengan mana-mana kelab, ya silakan. Tetapi jangan pernah lupa untuk turut serta dalam program yang dianjurkan oleh "rumah kita" sendiri iaitu Kolej Kediaman. Dalam erti kata lain, seimbangkan antara penglibatan program anjuran Kolej Kediaman dan mana-mana program lain yang ada dekat UMT ni.

Pada zaman sekarang ni, sistem pelekat-pelekat kecil yang perlu dikumpulkan untuk dikepilkan bersama sewaktu nak mohon asrama sudah tidak lagi digunapakai. Mungkin mereka-mereka yang ada dekat UMT tahun 2017 dan kebawah sempat merasai zaman tu. Paling kalut bila hujung sem nak mohon asrama 😂. Kalut dok mencari kupon-kupon yang pernah dapat sepanjang sem tu pastu tampal banyak-banyak. Time tu pon best sebab boleh lawan dengan kawan-kawan siapa paling banyak dapat kupon. hahahahaha 😂😂😂.

Setelah peredaran zaman berlaku, kini permohonan asrama tidak lagi berpaksikan kepada kupon-kupon kecil tu, tetapi telah diubah kepada sistem permohonan secara atas talian yang lebih moden dan sistematik berdasarkan kepada pengumpulan merit My-Star semasa bagi seseorang pelajar itu. Jadi kalau senior-senior cakap merit tu sia-sia jer kumpul, usah dipercayakan sangat. Kerana selagi mana awak di alam universiti ini, selagi tu la ianya berguna kepada anda terutamanya bila nak mohon asrama. Lagipon x rugi pon kalau join program-program yang ada ni. Pengalaman dapat, ilmu dapat, hah macam-macam boleh dapat.

Jika amalkan kaedah pengimbangan sebegini, insyaAllah kebarangkalian untuk anda mendapat tempat di dalam Kolej Kediaman bagi permohonan yang berikutnya adalah tinggi dengan syarat, kena mohon la.... Kalau xmohon, dah macam mana nak dapat!!! hahahahaha...

Semoga perkongsian kali ini memberi manfaat buat seluruh pembaca.

Comments